Zhonghua Sec
Home > Achievements > Highlights > Jawi Calligraphy Workshop & Learning Journey to Marina Barrage

Jawi Calligraphy Workshop & Learning Journey to Marina Barrage

Event: ML Jawi Calligraphy Workshop & Learning Journey to Marina Barrage (Bengkel Seni Khat & Layang-layang)                                   Date: 9th March 2016


ML LJ -  Composite.jpg

Reflection 1: 

Pengalaman saya di  Bengkel Seni Khat dan Layang-layang sangat baik. Kami diajar bahasa Jawi. Bahasa Jawi agak susah. Walaupun ada huruf sama seperti huruf dalam Quran, Jawi tidak menggunakan harakat. Apabila huruf-huruf dicantumkan untuk menjadi perkataan, ia amat susah untuk memahaminya kerana seseorang itu mungkin berasa bingung tentang maknanya. Oleh itu, bahasa Jawi lebih susah difahami dengan kemungkinan punca masalahnya ialah kurang pengetahuan mengenai bahasa Jawi. Saya sungguh tertarik dengan sesi ini kerana ia sangat unik dalam segi bahasa dan penuturannya. 

 

Selepas itu, kami ditugaskan untuk mewarnakan dan melukiskan layang-layang kami. Ada banyak layang-layang yang berwarna-warni. Kami juga digalakkan untuk menulis perkataan Jawi di atas layang-layang kami. Saya tidak sabar untuk melayangkan layang-layang saya supaya dapat menunjukkan lukisan saya di langit. 

 

Setelah selesai melukis, kami diajak ke bumbung Bendungan Marina untuk melayangkan layang-layang kami. Saya berpendapat bahawa tempat yang dipilih guru kami ini amat sesuai untuk kami jalankan aktiviti melayangkan layang-layang kami ini kerana angin agak kencang. Pada mulanya, agak susah untuk saya melayangkan layang-layang saya ke udara. Saya perlukan bantuan kawan saya. Namun, saya tidak berputus asa. Saya cuba sekali lagi mengikut arah angin. Setelah banyak percubaan, akhirnya saya berjaya melayangkan layang-layang saya! Amat seronok sekali!   

 

Saya tidak dapat lupakan pengalaman yang sungguh menarik dan memuaskan hati ini. Banyak nilai yang dapat saya pelajari daripada aktiviti ini. Saya perlu banyak bersabar apabila melakukan sesuatu. Dengan usaha yang gigih, tentu apa yang saya mahukan akan berjaya dilaksanakan, seperti melayangkan layang-layang saya. Jika berpeluang, saya mahu ke Bendungan Marina bersama keluarga saya untuk bermain layang-layang. 

 

Ahmad Syafiq bin Abdul Razak

Menengah 2E3

 

 

Reflection 2: 

Bendungan Marina telah dibuka secara rasmi pada 1 November 2008 dan ia merupakan tempat takungan air yang ke lima belas. Bendungan Marina ini amat cantik dari segi seni binanya dan pada 9 Mac 2016, saya berpeluang ke bendungan yang menakjubkan ini bersama guru-guru dan rakan-rakan saya. 

 

Setibanya di Bendungan Marina, tanpa berlengah-lengah, kami diajar cara membaca dan menulis bahasa Jawi. Satu sesi praktikal telah disediakan untuk kami menggunakan cara penulisan bahasa Jawi. Setelah kami diajar tentang penulisan bahasa Jawi dan sejarahnya, kami menghias layang-layang kami. Kami juga diberi sehelai kertas yang dicorak dengan contoh lukisan bunga dan juga sehelai kertas sebagai contoh penulisan bahasa Jawi. Selepas kami puas hati dengan hiasan layang-layang kami, kami pergi ke tempat lapang untuk melayangkan layang-layang rekaan kami. 

 

Cuaca pada waktu itu sungguh panas tetapi angin agak kencang. Kebanyakan pelajar berasa seronok bermain dengan layang-layang mereka dalam cuaca itu. Daripada pengamatan saya, ada beberapa pelajar yang mengalami kesukaran untuk melayangkan layang-layang mereka pada mulanya. Walaupun begitu, mereka tidak berputus asa. Mereka gelak ketawa dan cuba lagi. Akhirnya, kami semua dapat melayangkan layang-layang kami. Ketika seronok bermain, kami terpaksa berhenti untuk pulang ke sekolah.

 

 Saya rasa lawatan sambil belajar ini sungguh menarik dan memberikan banyak faedah. Saya amat gembira kerana dapat mempelajari lebih tentang bahasa Jawi, bahasa yang agak sukar untuk dipelajari tetapi jika saya berminat dan berusaha, saya pasti saya dapat menguasai bahasa ini. Saya juga dapat mengalami sesuatu yang baharu bersama dengan rakan-rakan sekolah, iaitu mereka layang-layang kami sendiri dan melayangkannya. Dengan sikap positif dan usaha yang gigih, saya pasti seseorang itu dapat ke mercu kejayaan, ibarat melayangkan layang-layang. Tidak mudah untuk melayangkan layang-layang. Kadang-kala kami akan gagal, tetapi dengan banyak bersabar, akhirnya kami berjaya juga. 

 

Nurul Nadiah bte Abu Bakar

Menengah 2E3